Saturday, 7 February 2015

WAWASAN & PEMIKIRAN SOLIDGOLD HELMETS


Solidgold Helmets lazimnya menggunakan tag lineQuality, Safety & Style” atau “Kualiti, Selamat & Bergaya dalam iklan-iklannya di majalah-majalah motor dan sebagainya.

Walaupun ianya dipandang sebagai satu 'tag line' sahaja, bagi Solidgold Helmets, ianya bukan satu 'tag line' semata-mata.

Solidgold Helmets sememangnya memegang teguh dan menitikberatkan isi kandungan 'tag line' tersebut.

Adalah wawasan Solidgold Helmets untuk mengeluarkan jutaan helmet-helmet yang berkualiti yang mampu menyelamatkan jutaan pengguna-pengguna dan pada masa yang sama membawa kegembiraan dan kepuasan kepada mereka yang memakainya dengan rekabentuk atau 'design' helmet-helmet yang selesa dan bergaya.

Bila Solidgold Helmets mula mengeluarkan helmet pada tahun 1981, matlamat Solidgold Helmets hanyalah mengeluarkan helmet-helmet yang mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh SIRIM supaya penunggang dan pembonceng motorsikal atau skuter dapat membeli helmet-helmet buatan Malaysia yang mampu milik dan mematuhi undang-undang yang mewajibkan pemakaian helmet yang lulus SIRIM.

Sebelum itu, kebanyakkan helmet perlu diimport dari luar negeri dan helmet agak mahal dan bukan semua yang mampu beli. Permintaan penunggang dan pembonceng motorsikal atau skuter hanyalah sekadar mematuhi undang-undang jalanraya sahaja. Tak ramai yang fikir tentang “KESELAMATAN”.

Mungkin sebab pada masa itu, tak banyak kemalangan jalanraya yang berlaku dan tak begitu banyak kenderaan di jalanraya. Pakai helmet sekadar mematuhi undang-undang jalanraya saja.

Jangan kata “GAYA”, perkataan “KUALITI” pun tak pernah dengar.

Jika pakai helmet yang ada kelulusan SIRIM dah cukup, dah memadai.

Ramai yang langsung tak pakai helmet sehinggalah kerajaan mewajibkan pemakaian helmet dan pihak JKJR (Jabatan Keselamatan Jalan Raya) banyak memberi kesedaran kepada rakyat tentang betapa pentingnya pemakaian helmet melalui iklan-iklan TV dan majalah serta melangsungkan program-program komuniti untuk memberi kesedaran secara terus kepada penunggang dan pembonceng motorsikal atau skuter.

Pada hari ini, zaman dah bertukar dan akan terus bertukar.

Permintaan penunggang dan pembonceng motorsikal atau skuter hari ini pun sudah bertukar. Helmet yang dipakai bukan sahaja perlu lulus SIRIM tetapi juga perlu BERKUALITI dan BERGAYA.

Pengguna hari ini jauh lebih bijak. Tahu apa yang berkualiti dan tahu apa yang tidak berkualiti. Tak boleh tipu pengguna dengan “tag line” yang menjanjikan keselamatan atau kualiti sedangkan produk yang ditawarkan itu jelas tidak berkualiti.

Pengguna kini pandai sekali. Harga murah tidak semestinya bagus. Harga tinggi juga tidak semestinya bagus. Harga mesti berbaloi. Pengguna kini pandai membuat penelitian sendiri dan pandai membuat keputusan sama ada produk itu berbaloi atau tidak, berdasarkan kualiti produk berbanding dengan harga yang ditawarkan.

Pemikiran Solidgold Helmets juga telah berubah terutamanya dalam 10 tahun kebelakangan ini.

Dulu “tag line” hanyalah “Safety & Style” atau “Selamat dan Bergaya”. Masa itu perkataan “kualiti” mungkin tak popular. Masa itu mungkin tak ada pensijilan “ISO 9001”. Jika adapun, ianya mungkin tak popular.

Apa yang lulus SIRIM sememangnya boleh dianggap selamat. Bagi Solidgold Helmets, walaupun keselamatan adalah paling penting tapi ianya masih tak cukup. Solidgold Helmets mahu helmet yang lulus SIRIM itu lebih berkualiti sehinggakan pengguna yang memakai helmet buatan Solidgold Helmet rasa kepuasan memakainya. Dalam pada itulah, perkataan “KUALITI” ditambahkan pada 'tag line' Solidgold Helmets.

Dulu, bila Solidgold Helmets merekabentuk helmet-helmet baru, apa yang difikirkan bergaya atau tidak adalah semata-mata pendapat dan kesimpulan yang diputuskan oleh pihak pengurusan Solidgold Helmets berdasarkan apa yang didapati popular di luar negeri (dimana banyak sampel helmet luar negeri dibeli untuk penyelidikan) dan berdasarkan pendapat-pendapat pekerja di kilang Solidgold Helmets. Adalah susah untuk memperolehi pendapat terus dari pengguna-pengguna sebab tidak ada kemudahan internet atau media sosial seperti muka FB dan sebagainya. Justeru itu, sering kali Solidgold Helmets membuat kesilapan. Apa yang difikirkan bagus dan bergaya tidak disetujui oleh pengguna-pengguna.

Kini, Solidgold Helmets lebih peka dan sensitif kepada pendapat dan maklumbalas pengguna-pengguna helmet keluaran Solidgold Helmets sebab ISO 9001 menitikberatkan maklumbalas dari pengguna. Solidgold Helmets mengalu-alukan maklumbalas dari pengguna-pengguna.

Tambahan pula, adalah lebih mudah untuk mendapat maklum balas terus dari pengguna-pengguna melalui media sosial seperti muka FB dan sebagainya.

Selaras dengan permintaan pengguna-pengguna yang sudah berubah, pemikiran Solidgold Helmets juga telah berubah bersama.

Kini Solidgold Helmets bukan sahaja menjual produk topi keledar yang selamat dipakai dan berkualiti tinggi untuk pengguna-pengguna yang inginkan helmet yang sedemikian.

Solidgold Helmets juga mahu 'menjual' rasa 'kepuasan' dan jika boleh menunaikan 'impian' penggemar-penggemar dan pengumpul-pengumpul helmet LTD dan SGV dengan pengeluaran helmet-helmet yang betul-betul 'diidami' dan disukai oleh mereka. Di sinilah, Solidgold Helmets perlu betul-betul memahami permintaan penggemar-penggemar dan pengumpul-pengumpul helmet LTD & SGV dan cuba mengeluarkan apa yang diminta dan diidami mereka.

Solidgold Helmets juga ingin cuba mengeluarkan helmet-helmet yang bakal jadi RARE atau 'collectable' supaya penggemar-penggemar yang mengumpul helmet-helmet LTD & SGV akan merasa seronok dan gembira mengumpul helmet-helmet LTD & SGV sebab helmet-helmet yang dikumpul itu bakal naik nilainya.

Sememangnya banyak helmet-helmet LTD & SGV yang dikeluarkan dahulu sudah jadi RARE dan nilai helmet-helmet tersebut sudah melambung naik sebab helmet-helmet tersebut tidak keluar lagi. Contohnya, helmet SGV Rider, helmet fiberglass SGV LTD, helmet fiberglass SGV 'monkey', helmet Solidgold PureSport Fire Bird, helmet SGV tahun 80an, helmet fullface SGV Doohan, helmet fullface Castrol dan sebagainya. Jadi jelas terbukti kumpul helmet keluaran Solidgold Helmets boleh untung !

Solidgold Helmets juga rasa bangga sebab helmet-helmet LTD & SGV yang berumur 20 hingga 30 tahun yang ditunjukkan kepada kami oleh penggemar-penggemar helmet LTD & SGV masih dalam keadaan yang serba bagus dan jelas terbukti kualiti helmet keluaran Solidgold Helmets.  

No comments:

Post a Comment